Mesti setiap orang membayangkan bahawa bantuan kemanusiaan yang saya lakukan sekarang bermula selepas saya melancarkan THIRDFORCE dan Yayasan Raja Shamri. Hakikatnya, bantuan-bantuan ini telah saya mulakan dari awal lagi semasa saya masih lagi baru dalam perniagaan. Golden Minds Consultant syarikat yang awalnya saya tubuhkan untuk beramal dalam kerjaya telah semakin berkembang sehingga tertubuhnya THIRDFORCE dan YRS.

blog3.small

Apa yang saya cuba sampaikan adalah setiap niat kita dalam membantu setiap orang tidaklah memerlukan tenaga atau harta yang besar. Mulakan dengan kudrat yang termampu dan pastikan niat kita betul dalam segala perkara yang dilakukan. Tahukah anda bahawa bantuan pek ramadan & syawal telah dimulakan lama sebelum wujudnya THIRDFORCE dan YRS lagi. Bila THIRDFORCE dilancarkan, saya ingin mengajak orang ramai untuk menyertai saya, untuk bersama saya merasai keajaiban ini. Saya cuba terapkan ‘model perniagaan’ bersedekah dan hubungannya dengan keberkatan rezeki ini kepada keluarga besar THIRDFORCE.

Mari saya kongsikan cerita yang sangat bermakna bagi saya terutamanya dalam pengalaman saya mula untuk membantu orang yang memerlukan. Kerja-kerja membantu asnaf ini bertahun-tahun lama dah bermula sebelum THIRDFORCE ini wujud lagi pada skala kecil dengan kemampuan sukarelawan masing-masing. Dan pada setiap tahun di bulan Ramadan itulah kami biasanya tak lupa letakkan dalam plastik barangan sumbangan itu sebotol oren sunquick.

Ada suatu ketika saya berbual dengan mak saya yang menyatakan bahawa rakannya bernama Mak Su yang menerima bantuan pek makanan berkongsikan satu cerita kepadanya. Baru-baru ini Mak Su ada beritahu Mak bahawa Oren Sunquick yang saya beri pada tahun lepas dia sembunyikan di bawah katil bimbang takut cepat habis dibancuh oleh anak cucu. Selepas itu beliau terlupa terus. Apabila nak puasa tahun ini waktu kemas bilik terjumpa balik ada bawah katil, tapi dah luput tarikh.

Begitulah saya nak tunjukkan bahawa betapa Mak Su dan penerima bantuan sepertinya sangat menghargai pemberian kita, sebagaimana orang miskin meraikan barangan bantuan yang kita beri. Bagi asnaf dan juga saya pada ketika dulu, hari raya merupakan hari yang agak sukar untuk bergembira, ini kerana tiada apa-apa di rumah. Tak penah ada baju raya. Biskut raya jauh sekali. Jadi, setelah saya ada kerjaya dan wang sedikit, dapatlah saya bantu keluarga saya. Tapi, bila saya fikirkan tentang nasib asnaf-asnaf seperti saya dahulu…

Saya mahu jadi pemberi..

Agar yang menerima akan dapat keselesaan dan kegembiraan bersama yang dirasa oleh setiap orang. Mungkin suatu hari nanti pasti ada juga anak muda yang berfikir macam saya iaitu tidak lagi mahu jadi penerima tetapi sebagai yang memberi Insyaallah…perkara yang baik kita juangkan pasti diredhai Allah.